Mendapat panggilan telefon dari yati pada 8/07/06 dalam pukul 4.15pm memberitahu kembalinya kerahmtullah, Ayahanda Hj Hasim Pehing atau yang ku panggil Bapak dalam usia 80an. Sedih yang amat sangat. Bapak telah ku anggap semacam bapa sendiri. Dia lah tempat menumpang kasih semasa di sana. Tempat aku mencurah segala masalah dan kesedihan bila tiada tempat lagi untuk mengadu.
Memang abah adalah abah kandungku dari lahir, tetapi Bapak telah menjaga dari umur ku 19tahun. Dialah orang pertama yang akan melawatku di hospital setiap kali aku melahirkan anak-anak ku. Dia akan datang sebaik mendengar aku selamat melahirkan,bertanya khabar dan membawakan makanan.
Bapak tidak pernah ke sekolah..sepanjang hidupnya bergelumang dengan air masin laut,membesarkan anak-anaknya dengan kederat dia ke laut saban malam. Tetapi bapak boleh membaca dan menulis. Bapak amat memahami kesedihan aku yang keseorangan ditempat asing. Setiap hari raya dia yang dahulu menziarahi tanpa mengira sepatutnya yang muda menziarahi yang tua..
Masih teringat dia datang ke rumah membawa kakinya yang teruk luka kerana bisul. Bisul yang tidak dicuci dengan sempurna, nanah mengeras dipermukaan luka. Aku menawarkan diri untuk membersihkan luka dan kemudian meletakkan ubat. Seminggu selepas lukanya sembuh dia datang ke rumah menunjukkan lukanya yang telah sembuh sambil memberi komen " anak-anak sendiri pun tak buat macam kau buat" Aku tersenyum dan menjawap " Bapak tak mintak, dia orang tak tolonglah".." Lain kali kalau luka macam tu, cuci selalu dan letak ubat supaya tak melarat, nasib baik bapak tak de kencing manis" aku menyunggut. Dia diam sambil mengunyah sireh...
Kini bapak telah pergi tanpa sempat aku ziarahi buat kali terakhir. Tanpa sempat meminta ampun maaf sekiranya ada silap dan salah ku selama di sana.
Selamat Kembali ke alam barzakh bapak. Semoga Allah tempatkan bapak di tempat orang-orang yang beriman dan dipermudahkan perjalanan ke sana. Semoga diampunkan segala dosa sekiranya ada. Doa anakanda akan sentiasa ada untuk bapak, Insyaallah.